Pages

Tuesday 26 July 2011

Pengujian, Pengukuran, Penilaian dan Pentaksiran

PENGUJIAN
       
       Pengujian ialah suatu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang individu (R.M Gagne, The Conditions of Learning).
Dalam sesebuah kelas, pengujian digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku yang berkaitan dengan aktiviti pembelajaran para pelajar. Ia merupakan sebagai satu alat pengukuran dengan tujuan mendapatkan maklumat tentang pencapaian pelajar-pelajar daripada pelbagai bidang kognitif, psikomotor ataupun afektif.  Pengujian ini memerlukan pelajar menunjukkan secara eksplisit, seperti menjawab secara lisan atau bertulis, perubahan tingkah laku berkaitan dengan perkara-perkara yang telah dipelajarinya.
       Proses pengujian biasanya dimulakan dari peringkat persediaan, diikuti dengan peringkat pelaksanaan dan diakhiri dengan peringkat pemeriksaan. Melalui proses ini, guru akan dapat mengetahui sama ada para pelajarnya telah berjaya menguasai kemahiran atau memperolehi ilmu pengetahuan yang telah dipelajarinya.
Tujuan proses ini dijalankan adalah untuk;

  • Mengesan hasil pembelajaran yang telah dicapai.
  • Mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang pencapaian hasil-hasil pembelajaran yang lain.
  • Ujian petempatan akan menentukan kemahiran dan penguasaan sedia ada pelajar sebelum pengajaran. Ia bertujuan menentukan aras bahan pengajaran yang sesuai digunakan.
  • Ujian diagnostik dapat menentukan punca masalah pembelajaran pelajar. Dengan itu, guru dapat menentukan teknik pemulihan yang perlu digunakan.

PENGUKURAN

         Pengukuran ialah satu proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kauntitatif sesuatu benda, perkara atau keadaan. Nilai ini biasanya dinyatakan  dalam sesuatu unit angka yang tetap dengan menggunakan alat pengukuran yang berkaitan.
         Ujian, soal selidik, senarai semak, inventori merupakan instrumen yang  digunakan oleh guru dalam proses pengukuran. Kaedah pentaksiran dan penaakulan juga merupakan cara bagi menjalankan pengukuran terhadap pelajar. Pengukuran ini terhad kepada huraian kuantitatif dan tidak termasuk huraian kualitatif atau membuat keputusan. Maklumat kuantitatif  seperti markah mentah, peratus, persentil agregat dan pangkat menjadi alat pengukuran guru terhadap pencapaian murid. 
         Tujuan pengukuran dapat dilihat dari segi pengajaran dan pentadbiran. Dari segi pengajaran, fungsi-fungsi pengukuran adalah seperti berikut;
  • Mengesan hasil-hasil pembelajaran yang diperolehi.
  • Mengesan jenis-jenis kemahiran yang diperolehi.
  • Mengesan kemajuan yang dicapai dalam aspek-aspek pembelajaran yang lain.
  • Mengesan jenis-jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar.
Dari segi pentadbirannya pula, fungsi-fungsi pengukuran adalah seperti berikut;
  • Bagi mendapatkan maklumat untuk pengaliran atau pengumpulan.
  • Bagi mendapatkan maklumat untuk bimbingan.
  • Bagi mendapatkan maklumat tentang guru.
  • Bagi mendapatkan maklumat untuk rekod prestasi dan rekod profil yang kemudiannya akan dibekalkan sebagai maklum balas kepada pelajar serta ibu bapa.
PENILAIAN

 Di dalam buku Education Evaluation and Decision Making yang disunting oleh D. Stufflebeam, penilaian ditakrifkan sebagai proses menentukan, mendapatkan dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan yang selanjutnya.
         Dalam konteks pendidikan, penilaian merupakan suatu proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaranselanjutnya dengan cara yang lebih berkesan. Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti berikut;

  1. Peringkat persediaan ujian 
  2. Peringkat pentadbiran ujian
  3. Peringkat pemeriksaan dan pengukuran
  4. Peringkat analisis
  5. Peringkat interpretasi dan tindakan
PENTAKSIRAN

Pentaksiran ini berasal daripada perkataan Greek 'assidre' yang bermaksud duduk disisi. Menurut David Pyne; 2003,  pentaksiran merupakan integrasi daripada proses pengumpulan maklumat, dan memberi nilai kepada maklumat. Secara ringkasnya, pentaksiran ialah proses membuat keputusan berdasarkan interpretasi terhadap maklumat.

                                     PENTAKSIRAN = PENGUKURAN + PENILAIAN

Tujuan proses pentaksiran dijalankan adalah untuk;
  • Mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.
  • Menilai aktiviti yang dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran.
  • Memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran.
Prinsip-prinsip bagi menjalankan pentaksiran ialah;

  • Mempunyai instrumen
  • Kumpulan yang ditafsir (pelajar)
  • Respon yang diterima
  • Kumpulan yang mentafsir
  • Skor
Ciri-ciri pentaksiran;
  1. Kesahan skor --> releven/ kecukupan cakupan
  2. Kebolehpercayaan skor --> ketekalan/ ketepatan
  3. Keobjektifan --> ketepatan seseorang pentafsir memberikan skor
  4. Kebolehtadbiran --> kelicinan kerja-kerja mentadbir ujian yang dilaksanakan secara berpusat ataupun berasaskan sekolah.
Pentaksiran
  1. Proses --> pengujian
  2. Maklumat --> pengukuran
  3. Produk --> keberkesanan/ penghasilan pelajar
  4. Penghakiman --> memberikan hukuman terhadap pencapaian.




No comments:

Post a Comment