Pages

Monday 17 October 2011

INTERAKSI 6 : KAEDAH PENILAIAN BAHASA

KAEDAH PENILAIAN BAHASA

PENILAIAN MELALUI PORTFOLIO

    Arter dan Spandel (1991) mendefinisikan portfolio sebagai satu koleksi hasil kerja kanak-kanak yang bermatlamat yang menunjukkan usaha , kemajuan dan pencapaian kanak-kanak dalam satu atau lebih bidang pembelajaran. Menurut Grace (1992) portfolio adalah satu rekod proses pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak. Rekod ini  menunjukkan apa yang telah dipelajari dan bagaimana ianya dipelajari oleh kanak-kanak; bagaimana dia berfikir, menyoal, menganalisis , mensintesis, menghasilkan dan mencipta sesuatu dalam usaha menyiapkan tugasan yang diberi. Portfolio juga menunjukkan bagaimana kanak-kanak berinteraksi secara intelektual, emosi dan sosial dengan orang lain.
     Bhasah (2003) pula berpendapat portfolio merupakan satu rekod penyimpanan maklumat dalam bentuk fail atau sebagainya yang mengandungi bahan- bahan kutipan yang dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan dan menjelaskan atau menerangkan perkembangan kanak-kanak dalam menyiapkan tugasan yang diberi.
     Grace (1992) menyatakan bahawa portfolio mampu menilai perkembangan kanak-kanak secara autentik kerana portfolio adalah bukti pencapaian kanak-kanak yang sebenar dan bersesuaian dengan proses pembelajaran. Proses pembelajaran boleh direkod melalui portfolio kerana kandungan portfolio mampu menunjukkan apa yang telah dipelajari, bagaimana kanak-kanak mempelajarinya dan bagaimana kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain dalam menyempurnakan tugasan mereka. Portfolio dapat memantau kemajuan kanak-kanak kerana portfolio merekod kejayaan dan bukannya kegagalan kanak-kanak. Usaha memantau kemajuan kanak-kanak perlu dijalankan di konteks persekitaran di mana pembelajaran berlaku (Appl 2000).

PRINSIP PENGGUNAAN  PORTFOLIO

De Fina (1992) menyenaraikan lima prinsip penggunaan
portfolio iaitu seperti berikut:
  1. Merupakan koleksi hasil kerja pelajar yang sistematik dan bermakna dalam satu atau lebih komponen pembelajaran.
  2. Pelajar bersama guru memilih hasil kerja yang sepatutnya dimasukkan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
  3. Mengandungi pelbagai hasil kerja yang terdiri dari pelbagai bentuk media.
  4. Boleh merefleksi pembelajaran sebenar yang dialami setiap hari.
  5. Dilakukan secara berterusan agar boleh memperlihatkan usaha, kemajuan dan pencapaian dalam satu jangka masa.
Dalam memastikan penggunaan portfolio yang sistematik dan bermakna Ward dan
Murray-Ward (1999) mencadangkan langkah penyediaan portfolio seperti berikut:
  • Tentukan tujuan.
  • Nyatakan kandungan dan kemahiran yang akan ditaksir atau diberi perhatian.
  • Tentukan sasaran yang akan dinilai dan peringkatnya.
  • Nyatakan bahan-bahan yang perlu dikutip.
  • Tetapkan kaedah pengumpulan bahan dan tempoh bagi sesuatu aktiviti itu dijalankan.
  • Pastikan pelajar terlibat sama dalam pengumpulan bahan.
  • Perjelaskan kaedah pengredan untuk menaksir tugasan portfolio.
  • Sediakan satu ruang yang mencukupi untuk menyimpan portfolio.
TUJUAN PENGGUNAAN PORTFOLIO

Tujuan yang jelas tentang penggunaan portfolio akan membolehkan pelaksanaannya berjalan
dengan berkesan. Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) telah menetapkan penggunaan
portfolio di sekolah sebagai;
  • Rekod penyimpanan pengalaman, usaha, kemajuan yang diperolehi serta juga kejayaan yang diperolehi bersama rakan-rakan lain;
  • Asas penilaian perkembangan ; 
  • Panduan untuk pengajaran dan pembelajaran dan untuk mengumpulkan maklumat untuk dikongsi bersama ibu bapa berkenaan perkembangan dan kemajuan anak mereka.
          Menurut Meisels et al.(1997), portfolio menunjukkan proses pembelajaran dan aplikasi pemahaman; dan mampu mendokumentasi kekuatan dan kelemahan kanak-kanak yang merupakan bukti perkembangan harian yang berlaku ke atas kanak-kanak. Wortham (2002) menjelaskan portfolio mampu merekod perkembangan kanak-kanak dari pelbagai hasil kerja yang terkumpul. Melalui hasil kerja dan eviden perkembangan yang ada dapat dikenal pasti perkembangan yang telah berlaku. Ianya membolehkan pelajar mengesan, mengikuti perkembangan dan melihat kemajuan mereka sendiri dalam satu tempoh. Dengan itu pelajar dapat berusaha untuk meningkatkan pencapaian dengan menggunakan potensi diri mereka dalam menyelesaikan tugasan yang diberi.
          Meisels (1995) berpendapat penggunaan portfolio membolehkan penilaian kebanyakan elemen pembelajaran dan perkembangan yang tidak diambil kira di dalam ujianujian yang dijalankan. Ianya adalah satu bentuk penilaian berasaskan pencapaian atau performance evaluation kerana ia menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak di dalam situasi sebenar pembelajaran . Oleh itu, penilaian yang ditadbir berasaskan portfolio adalah lebih autentik kerana kanak-kanak dinilai berdasarkan proses dari bukti yang dilihat dan bukannya dari satu ujian bertulis yang tidak menggambarkan proses pembelajaran
kanak-kanak. Penilaian perkembangan berasaskan portfolio adalah lebih memenuhi tahap perkembangan kanak-kanak kerana kanak-kanak tidak dinilai di luar rutin harian mereka.
         Portfolio mempunyai kebaikan dari segi pengajaran kerana portfolio mengintegrasikan pengajaran dan penilaian; dan bersesuaian dengan kurikulum kerana pelbagai aspek perkembangan dapat dinilai dari sesuatu hasil kerja (Meisels 1995;Ward dan Murray-Ward 1999; Appl 2000). Kepada guru, portfolio dapat membantu melihat keseluruhan proses dan produk pengajaran, dan dapat mengenal pasti perkembangan pelajar. Pengintegrasian ini boleh membantu perkembangan pembelajaran yang berjaya kerana ia
mampu mendokumentasi dan menggambarkan pengajaran guru.
          Kesimpulannya, tujuan penggunaan portfolio adalah untuk merekod perkembangan
kanak-kanak, menjadi asas dalam menilai perkembangan kanak-kanak, sebagai panduan
proses pengajaran dan pembelajaran dan menjadi bukti pelaporan perkembangan kanakkanak
kepada ibu bapa.

KANDUNGAN PORTFOLIO
                 Portfolio mengandungi hasil kerja kanak-kanak yang memenuhi tujuan dan objektif pembelajaran harian kanak-kanak. Hasil kerja tersebut menggambarkan pengalaman yang dialami dan yang ingin dicapai. Contoh hasil kerja adalah seperti lukisan , kraftangan, gambar foto, sampel daripada aktiviti , hasil penulisan dan laporan dari pemerhatian (Kementerian Pendidikan Malaysia 2003b). Hasil kerja yang dikumpul dapat
menggambarkan kemajuan atau perkembangan seseorang kanak-kanak. Lukisan, contohnya menunjukkan kesedaran dan keperihatinan tentang sesuatu objek manakala hasil tulisan pula menunjukkan tahap literasi kanak-kanak (Rohani 2001).
                 Menurut Engel (1991) hasil kerja dapat mengenal pasti dan menyokong
perkembangan kanak-kanak. Hasil kerja dapat memantau kejayaan yang dicapai kanak-kanak berbanding kegagalan yang dihadapi di samping menunjukkan usaha ,kemajuan dan pencapaian mereka . Hasil kerja yang dikumpul perlu pelbagai termasuklah draf-draf kerja yang bersesuaian yang dapat menunjukkan usaha, aplikasi pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak. Hasil kerja dalam pelbagai bentuk media seperti hasil kerja dalam bentuk rakaman audio video dan gambar foto mampu menunjukkan perkembangan kanak-kanak dengan lebih jelas. Menurut Grace (1992), bergantung kepada tujuan diadakan portfolio,
kandungannya perlu boleh berkomunikasi tentang apa yang mampu dibuat oleh kanak-kanak.
Ianya perlu selari dengan aktiviti kelas dan perkembangan kemahiran tertentu yang ingin
diajar kerana ianya merupakan refleksi matlamat pembelajaran.
                Kesimpulannya, kandungan portfolio adalah pelbagai . Namun ianya perlu berdasarkan matlamat pembelajaran yang ditetapkan dan bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak.


TATACARA MENILAI KANDUNGAN PORTFOLIO

             Proses menilai kandungan portfolio perlu berpandukan objektif pembelajaran yang
bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Setelah proses pengumpulan
dijalankan, guru menyemak, membanding dan menganalisa hasil kerja kanak-kanak. Pada
tahap ini guru perlu mengenal pasti pengetahuan, kemahiran atau pencapaian yang
ditunjukkan oleh kanak-kanak di dalam hasil kerja mereka.
Semakan hasil kerja kanak-kanak boleh dijalankan dengan pelbagai cara. Antaranya;
  • Memberi ganjaran seperti bintang, gred atau stiker.
  • Guru boleh memberi makna kepada dokumentasi portfolio yang dikumpul dengan memberi ulasan (Gronlund 1998). 
  • Ulasan secara lisan yang diberi terus kepada kanak-kanak akan menyedarkan kanak-kanak pencapaian hasil kerja mereka. 
  • Ulasan tulisan pula akan memberi maklumat sejauh mana kanak-kanak telah berkembang dalam masa ditetapkan. 
Dengan itu amat penting bagi guru mengetahui kriteria penilaian perkembangan yang ditadbir berdasarkan
pengetahuan , kemahiran dan pencapaian kanak-kanak sebelum ulasan ditulis. Ulasan yang diberi meningkatkan kualiti dokumentasi kerana maklumat yang terkandung di dalamnya dapat menilai proses pembelajaran yang sedang berlaku ke atas kanak-kanak (Gronlund 1998). Selain itu ulasan guru dapat menjelaskan konteks di mana perkembangan kanak-kanak berlaku.
        Hasil kerja kanak-kanak perlu dikumpul secara kronologi di mana setiap semakan perlu bertarikh. Hal ini akan membolehkan perkembangan kanak-kanak dinilai secara membandingkan hasil kerja yang terdahulu dengan yang terkini (Grace 1992). Perkembangan atau kejayaan kanak-kanak dari hasil kerja tidak boleh dirumuskan dengan membandingkan seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain kerana penilaian berasaskan portfolio perlu berfokus kepada kanak-kanak itu sendiri tanpa membuat
perbandingan dengan rakan sebaya. Hal ini membolehkan perkembangan kanak-kanak dipantau
secara individu.
         Bagi mencapai rumusan berkenaan perkembangan kanak-kanak, kandungan portfolio seterusnya perlu dianalisa. Ini dijalankan berpandukan objektif pembelajaran dan tahap perkembangan kanak-kanak (Meisels 1993). Menurut Appl (2000) ini membolehkan satu indikasi kemajuan kanak-kanak dibentuk yang konsisten dengan matlamat pembelajaran bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak tersebut. Dengan berpandukan objektif pembelajaran dan tahap perkembangan guru boleh memilih dan merancang
pengalaman dan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak (Zurida et.al.
2003).
       Kesimpulannya, dalam menilai kandungan portfolio, hasil kerja kanak-kanak melalui proses-proses menyemak, membanding dan menganalisa perkembangan berpandukan matlamat pembelajaran yang ingin dicapai bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak.

KEBAIKAN PENILAIAN MELALUI PORTFOLIO

Kajian Arter et al.(1995) ke atas guru menunjukkan antara kebaikan portfolio yang
dikenalpasti adalah    ;
  • Membolehkan kurikulum dan pengajaran yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak dilaksanakan.
  • Membolehkan pelajar menilai stail pembelajaran masing-masing.
  • Meningkatkan kebolehan berkomunikasi dengan ibu bapa tentang pembelajaran
  • pelajar.
Kajian King & Campbell-Allen (1998) ke atas guru-guru tentang penggunaan
portfolio di Carrie E. Tompkins Elementary School di Croton, New York mendapati bahawa
penggunan portfolio membolehkan guru:
  • lebih memahami pelajar mereka
  • lebih memahami gaya belajar pelajar
  • lebih memahami kebolehan pelajar dalam bidang berlainan
  • lebih memahami pengajaran sendiri
  • merangka pengajaran yang berfokus kepada pelajar
  • berkongsi hasil kerja pelajar dengan ibu bapa
KELEMAHAN PENILAIAN MENGGUNAKAN PORTFOLIO
Ward dan Murray- Ward (1999) mendapati bahawa antara masalah penggunaan
portfolio adalah:
  • Memerlukan masa yang banyak untuk menyemak portfolio setiap kanak-kanak dan membuat penilaian.
  • Pengetahuan guru yang agak terhad dalam menilai semua aspek perkembangan kanak-kanak berdasarkan hasil kerja.
  • Ketidakjelasan tujuan penggunaan portfolio samada hanya sebagai tempat pengumpulan hasil kerja atau sebagai asas perkembangan penilaian kanak-kanak.
  • Kurang bermakna kepada ibu bapa yang lebih mempercayai ujian dapat menggambarkan kejayaan anak mereka dengan lebih tepat.
  • Kesahan hasil kerja sebagai pengukur kemajuan kanak-kanak disebabkan penilaian bersifat subjektif dan hanya berpandukan analisis yang dibuat oleh guru.
PENILAIAN MELALUI PORTFOLIO
  •         Membolehkan peserta belajar melalui pengalaman dan menilai diri sendiri
  •         Berfokus kepada proses/ tidak memberatkan hasil pencapaian.
  •         Dipantau melalui peta perkembangan pembelajaran pelajar yang boleh dinilai 
  •         bersama lain-lain bukti pembelajaran.
  •          Dijalankan secara berterusan supaya dapat mencerminkan perkembangan pelajar dari semasa ke semasa mengikut kriteria yang dipersetujui bersama.
CIRI-CIRI PORTFOLIO
  •          Bentuk dokumentasi yang berstruktur - memerlukan perancangan, pelaksanaan dan penilaian yang teliti.
  •          Penilaian ini dijalankan secara kolaboratif.
  •          Terdapat  fleksibiliti dalam portfolio.
  •          Menggalakkan pembelajaran secara interaktif.
  •          Kandungan portfolio terdiri daripada maklumat yang disusun secara urutan dan mengikut logik.
JENIS-JENIS PENILAIAN MELALUI PORTFOLIO
  •         Kerja harian
    •         Bahan yang dikumpul untuk menghasilkan tugasan dalam satu jangka waktu yang diberikan.
  •         Hasil terbaik
    •         Dipilih daripada hasil terbaik portfolio kerja haria/ berbentuk sumatif.
  •         Dokumen
    •         Hasil tugasan kecil yang dijalankan semasa mengumpul bahan pada suatu jangka masa tertentu untuk menyempurnakan portfolio kerja harian.
KEGUNAAN PENILAIAN MELALUI PORTFOLIO
  •          Menggunakan bukti portfolio bersama rekod anekdot guru untuk menghasilkan penilaian yang holistik.
  •          Mengekalkan galakan pelajar untuk mengawal dan memantau perkembangan kendiri, menentukan matlamat dan berasa bangga dengan hasil pencapaian.
  •          Memberi peluang kepada pelajar untuk membuat refleksi dan penilaian kendiri.
  •          Membolehkan guru memantau perkembangan pembelajaran pelajar.
  •          Mempelbagaikan bukti penilaian.
  •          Boleh membuat penilaian dalam bidang afektif.
PERANCANGAN MENYEDIAKAN PORTFOLIO
  •         Menyediakan soalan-soalan untuk menentukan tujuan dan seterusnya jenis portfolio.
  •         Isi kandungan portfolio
  •         Siapa yang akan memilih isi kandungan, bahan/ sumber dan cara memperolehi.
  •         Penilaian
CARA MEMBUAT PORTFOLIO
  •         Tentukan tujuan
    •         Menghurai tujuan
    •        Menghurai instrumen
    •        Refleksi/ semak huraian tujuan dan selaraskan dengan objektif kurikulum serta peta perkembangan pembelajaran pelajar dalam sesuatu bidang.
  •        Tentukan isi
    •        Menghuraikan jenis/ isi
    •        Menghuraikan luas bidang pembelajaran.
    •        Refleksi/ semak huraian bukti/ sumber pembelajaran dengan menggunakan peta perkembangan pembelajaran pelajar dalam sesuatu bidang.
    •        Pastikan kriteria jelas dan mudah difahami.
    •        Pastikan kriteria tidak memihak kepada jenis jantina atau kumpulan.
    •        Refleksi/ semak huraian yang difokuskan dan kriteria penilaian mengikut tujuan, peta perkembangan pembelajaran pelajar dalam sesuatu bidang.
  •          Tentukan kaedah membuat anggaran dan laporan tentang lokasi pencapaian pelajar di peta perkembangan pembelajaran pelajar
    •         Hurai kaedah membuat anggaran dan laporan mengenai lokasi pencapaian pelajar di peta perkembangan pembelajaran pelajar.
    •         Refleksi/ semak huraian kaedah membuat anggaran dan laporan mengikut tujuan dan kumpulan sasaran.
MENGUMPUL MAKLUMAT
  •        Mencari dan mengumpul maklumat daripada pelbagai aktiviti.
    •        Temu bual
    •        Penyelidikan
    •        Lawatan
  •        Dokumentasikan maklumat dengan memindahkan ke komputer/ ke dalam fail.
    •        Inti/ rumusan daripada pelbagai sumber.
    •        Imbas gambar foto.
    •        Dalam bentuk soal semak di komputer.
    •        Sambungkan gambar video ke komputer.
CARA MENILAI PORTFOLIO
  •          Menggunakan peta perkembangan pembelajaran.
  •          Berdasarkan konsep perkembangan pembelajaran yang berterusan dan berfokuskan kepada perkembangan pelajar dalam aspek kemahiran-kemahiran, pengetahuan dan kefahaman.
  •          Menggunakan inferens dengan merekod dan menimbang pelbagai bukti.
  •          Membuat laporan sama ada secara huraian/ grafik untuk memberikan matlamat yang lebih lengkap daripada markah mentah ujian.






1 comment: